Kerjaya kelab Filippo Inzaghi

Kerjaya awal

Pada usia kanak-kanak, Inzaghi merupakan peminat Paolo Rossi dan Marco van Basten. Abangnya, Simone Inzaghi juga merupakan seorang pemain bola sepak. Filippo Inzaghi mula bermain untuk kelab tempatan, Piacenza sebagai seorang remaja pada 1991 tetapi dengan hanya membuat dua kemunculan liga membuatkan dia dipinjam ke kelab Serie C1, AlbinoLeffe dan Inzaghi mula menemui rentak cemerlang apabila menjaringkan 13 gol dalam 21 perlawanan. Pada tahun 1993, Inzaghi dipinjam lagi kali ini ke kelab Serie B, Hellas Verona dan menjaringkan 13 gol dalam 36 kemunculan. Kembalinya ke Piacenza, beliau menjaringkan 15 gol dalam 37 perlawanan lalu membantu pasukannya menjuarai Serie B dan membuktikan dirinya sebagai seorang prospek yang menarik.

Inzaghi membuat debut Serie A semasa beliau melakukan pemindahan ke Parma pada 1995 tetapi beliau hanya menjaringkan dua kali dalam 15 perlawanan liga buat musim 1995-96. Salah satu daripada dua gol itu ketika menentang kelab lamanya, Piacenza dan secara harfiahnya, membuatkan dia "menangis". Beliau menambah dua gol lagi dalam kejohanan Eropah pada musim itu. Pada musim berikutnya, beliau berpindah ke Atalanta dan menamatkan musim sebagai Capocannoniere (penjaring gol terbanyak Serie A) dengan menjaringkan 24 gol dan beliau menghasilkan gol setiap kali bertemu setiap pasukan liga. Selain itu, beliau juga dianugerahkan Pemain Muda Terbaik Serie A dan berkhidmat sebagai kapten pasukan pada hari perlawanan terakhir musim.[1][2][3]

Juventus

Walau bagaimanapun, Inzaghi berpindah sekali lagi ke kelab keenam dalam musim ketujuh kariernya dan kali ini ke Juventus, dengan bayaran yang dilaporkan sekitar 23 bilion lira Itali. Beliau membentuk barisan serangan yang menggerunkan bersama-sama Alessandro Del Piero dan Zinedine Zidane di bawah pengurus Marcello Lippi dan kemudian Carlo Ancelotti. Ketika beliau beraksi bersama Bianconeri, Inzaghi mencatatkan dua hatrik di Liga Juara-Juara ketika menentang Dynamo Kyiv dan Hamburger SV – menjadikan pemain pertama mencatat rekod tersebut.

Pada musim pertamanya di Juventus, Inzaghi menjaringkan dua gol pada perlawanan Supercoppa Italiana 1997 menentang Vicenza 3–0. Juventus meraih kejuaraan Scudetto ketika musim 1997–98, yang mana pada musim itu, Inzaghi menjaringkan 18 gol termasuklah hatrik ketika menentang Bologna. Beliau juga menjaringkan enam gol di Liga Juara-Juara sekali gus membantu Juventus melangkah ke perlawanan akhir biarpun tewas 0-1 kepada Real Madrid.

Pada musim 1998–99 dilihat kurang cemerlang buat Juventus apabila mereka kecundang pada aksi Supercoppa Italiana 1998 kepada Lazio dan menamatkan musim dengan kekecewaan di tempat ketujuh liga. Inzaghi tetap bermain cemerlang apabila menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan dan menjadi penjaring terbanyak kelab pada musim itu. Enam daripada gol Inzaghi pada kempen Liga Juara-Juara dan Juve disingkirkan oleh Manchester United di separuh akhir yang kemudian menjadi juara pada edisi itu.

Inzaghi membantu Juventus bagi memenangi Piala Intertoto UEFA 1999 dengan menjaringkan lima gol pada peringkat separuh akhir menentang Rostov dan dua gol di perlawanan akhir menentang Rennes lalu membolehkan Juventus untuk layak ke Piala UEFA pada musim itu. Inzaghi turut menjaringkan 15 gol di Serie A dan Juventus kehilangan gelaran "scudetto" kepada Lazii dan hanya menduduki tempat kedua liga. Paa musim berikutnya, beliau menjaringkan 11 gol di Serie A dan dilihat Juventus menamatkan musim di tempat kedua berturut-turut selain Inzaghi juga menjaringkan lima gol pada Liga Juara-Juara termasuk hatrik menentang Hamburg 4-4 meskipun Juventus tersingkir pada pusingan pertama. Bersama 16 gol pada semua kejohanan, Inzaghi menjadi penjaring terbanyak Juventus buat tiga musim berturut-turut.

Milan

Walaupun Inzaghi bermain cemerlang apabila menjaringkan 89 gol dalam 165 perlawanan untuk Bianconeri, Inzaghi kemudian hanya beraksi di bangku simpanan apabila khidmatnya digantikan oleh David Trezeguet dan beliau kemudian diikat Milan[4] dengan bayaran yang dilaporkan sekitar reported 70 bilion lira (kira-kira 16 juta ringgit),[5] Juventus mengumumkan penjualan Inzaghi menghasilkan keuntungan 31 juta paun sterling. Walau bagaimanapun, Inzaghi mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat pada separuh pertama musim. Selepas beliau mula pulih, Inzaghi bergandingan bersama Andriy Shevchenko, mereka bersama-sama menambah koleksi piala buat pasukan Rossoneri di bawah pengurus baru, Carlo Ancelotti yang membawa Milan ke Liga Juara-Juara 2002-03 (Milan menewaskan kelab lama Inzaghi, Juventus pada penentuan penalti) dan Coppa Italia 2002–03 (beliau menjaringkan gol pada perlawanan timbang balik, seri 2-2), Piala Super UEFA 2003, Supercoppa Italiana 2004 dan Scudetto pada musim 2003-04.[6] Dalam kempen Liga Juara-Juara 2002–03, beliau merekodkan hatrik ketiganya di Liga Juara-Juara apabila menumpaskan Deportivo de La Coruña pada peringkat kumpulan dan sehingga laluan kemenangan, beliau menjaringkan 12 gol di perlawanan Eropah pada musim itu. Pada November 2004, beliau menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab.

Inzaghi mampu pulih dari kecederaan lutut yang berterusan yang mengekang beliau selama dua musim. Selepas pulih sepenuhnya, beliau menjaringkan 12 gol dalam 22 perlawanan Serie A pada musim 2005–06 bersama empat gol di Liga Juara-Juara. Selain itu, beliau turut membantu Milan mara ke final Liga Juara-Juara selepas menjaringkan penentuan gol menentang Bayern Munich pada peringkat separuh akhir. Pada 23 Mei 2007, semasa perlawanan akhir berlangsung di Athens, beliau menjaringkan kedua-dua gol Milan ke atas Liverpool bangi mengulangi semula final 2005.

Pada permulaan musim 2007–08, beliau menyamakan kedudukan pada perlawanan Piala Super UEFA menentang Sevilla sebelum menang 3-1. Inzaghi menamatkan tahun 2007 dengan menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir Piala Kelab Dunia FIFA 2007 ke atas Boca Juniors, Milan menang 4-2 sebagai dendam atas kekalahan kepada lawan yang sama pada penentuan penalti pada 2003.[7]

Inzaghi pada perlawanan menentang Siena pada 2007.

Pada 24 Februari 2008, Inzaghi menjaringkan gol kemenangan Milan ke atas Palermo melalui tandukan cantik selepas masuk ke padang dari bangku simpanan dan ditanda sebagai gol di Serie A pertamanya pada tahun ini. Ia kemudian diikuti sepuluh gol liga. Gol Inzaghi ketika menentang Udinese merupakan gol ke-100nya untuk Milan pada perlawanan rasmi. Namun, walaupun Inzaghi bermain cemerlang di Milan, pengurus pasukan kebangsaan Itali Roberto Donadoni menolak untuk memanggil beliau ke Euro 2008. Pada November 2008, Inzaghi setuju untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Milan sehingga Jun 2010.[8]

Pada 8 Mac 2009, Inzaghi menjaringkan hatrik pertamanya musim ini ke atas Atalanta di San Siro. Gol ke-300 dalam kariernya ialah ketika membelasah Siena, 5-1. Beliau menjaringkan hatrik sekali lagi semasa menentang Torino, hatrik keduanya musim ini. Beliau diberi nama samaran "Super Pippo" oleh media kerana kemampuannya menjaringkan hatrik di Serie A dan telah meletakkan rekod bagi pemain menjaringkan hatrik terbanyak Serie A buat 25 tahun terakhir. Bersama sepuluh hatrik Serie A, Inzaghi kini berada di hadapan rekod Giuseppe Signori (9), Hernán Crespo (8), Roberto Baggio, Marco van Basten, Gabriel Batistuta, Abel Balbo, Vincenzo Montella (7), Antonio Di Natale dan David Trezeguet (6).

Pada musim 2009-10, di bawah pengurus Leonardo, Inzaghi telah diturunkan peranannya kepada sandaran pemain dengan menetapkan kontraknya tamat pada Jun 2010. Pada 21 Mei 2010, beliau ditawarkan kontrak setahun yang tamat pada 30 Jun 2011.

Pada 3 November 2010, dalam saingan Liga Juara-Juara peringkat kumpulan, Milan ketinggalan 1-0 kepada Real Madrid sebelum Inzaghi masuk ke padang dari bangku simpanan dan menjaringkan gol untuk membolehkan Milan mendahului 2-1. Walau bagaimanapun, Pedro León menyamakan kedudukan pada minit ke-94 dan perlawanan berkesudahan seri 2-2. Selepas peristiwa itu, Inzaghi kini menjadi penjaring terbanyak baru pada perlawanan Eropah sepanjang zaman dengan menghasilkan 70 gol. Beliau juga menjadi pemain kedua tertua menjaringkan gol di Liga Juara-Juara sewaktu berumur 37 tahun dan 85 hari di belakang pemain Manchester United, Ryan Giggs dan Inzaghi kini berada di tempat ketiga selepas Francesco Totti dari Roma melakukan sedemikian. Dengan kelebihan dua gol, Inzaghi memintas idolanya, Marco van Basten sebagai penjaring terbanyak Milan sepanjang zaman dengan 125 gol.

Pada 10 November 2010, Inzaghi mengalami kecederaan serius pada perlawanan menentang Palermo. Kenyataan rasmi dari laman web Milan mengesahkan bahawa Inzaghi mengalami luka "anterior cruciate ligament" (ACL) dan luka itu turut dikaitkan di bahagian meniskus lutut kirinya. Keputusannya Inzaghi terpaksa direhatkan sehingga hujung musim. Jika dilihat umurnya, kecederaan dialaminya boleh menamatkan kariernya tetapi Inzaghi tetap optimis. Pada 7 Mei 2011, Inzaghi tetap direhatkan sementara menunggu pulih dan pada masa yang sama, Milan menjuarai gelaran Serie A 2010-11. Selepas direhatkan selama enam bulan, beliau memasuki padang dari bangku simpanan pada 14 Mei ketika menentang Cagliari 4–1. Beliau melanjutkan kontraknya sehingga Jun 2012 ketika latihan pra-musim 2011–12.

Milan memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya terhadap beberapa pemain veteran termasuk Inzaghi, Clarence Seedorf, Alessandro Nesta dan Gennaro Gattuso. Beliau bermain pada perlawanan terakhirnya untuk kelab semasa menentang Novara pada 13 Mei 2012 dan menandakan aksinya dengan menjaringkan gol kemenangan. Pada 24 Julai 2012, Inzaghi mengumumkan persaraannya dari bola sepak untuk memulakan karier sebagai seorang jurulatih.

Rekod kejohanan Eropah

Bersama 70 gol, Inzaghi menjadi penjaring keempat terbanyak dalam kejohanan kelab Eropah di belakang Raúl, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi . Beliau menjadi pemain pertama yang menjaringkan dua hatrik Liga Juara-Juara (kedua-duanya ketika bersama Juventus). Beliau berbuat sedemikian ketika peringkat suku akhir Liga Juara-Juara 1997-98 menentang Dynamo Kyiv dan pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Hamburg pada 13 September 2000. Inzaghi merekodkan hatrik ketiganya di Liga Juara-Juara ketika menentang Deportivo de La Coruña pada musim 2002-03 sewaktu bersama Milan. Rekod yang dilakar Inzaghi ini kemudiannya seri apabila Michael Owen, merekodkan dua hatrik ketika bersama Liverpool dan satu hatrik untuk Manchester United.